Thursday, April 2, 2020

Pakej Ujian Dan Respon Sepatutnya Seorang Hamba!!

Dalam kehidupan ini kita akan berdepan dengan dua pakej ujian dari Allah yang menimpa diri kita semua. Pakej ujian ini sama ada berbentuk kesenangan ataupun kesusahan. Dua pakej ujian ini akan silih berganti menimpa setiap diri setiap manusia.


Tidak ada manusia yang sentiasa hidup senang berpanjangan dan tidak ada manusia yang akan terus hidup susah buat selama-lamanya. Kerana susah dan senang itu akan silih berganti.



Sama ada ujian yang datang itu berbentuk kesenangan atau kesusahan kedua-kedua ujian ini sebenarnya didatangkan oleh Allah supaya dapat dilihat apakah respon kita terhadap ujian tersebut.



Antara Syukur dan Sabar.


Ketika datangnya ujian kesenangan, respon sepatutnya sebagai seorang hamba Allah ialah bersyukur dan sentiasa berwaspada agar tidak terlalai dengan ujian kesenangan tersebut.



Ketika datangnya ujian kesusahan, respon sepatutnya yang ditunjukkan oleh kita sebagai hamba ialah bersabar dan sentiasa berbaik sangka kepada Allah Taala.




Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Shuhaib Bin Sinan bahawa Nabi s.a.w bersabda : 


عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ


"Dari Shuhaib Bin Sinan ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sungguh mengagumkan urusan mukmin, sesungguhnya semua perihalnya baik dan itu tidak dimiliki seorang pun selain orang mumin, bila tertimpa kesenangan, ia bersyukur dan syukur itu baik baginya dan bila tertimpa musibah, ia bersabar dan sabar itu baik baginya."

[HR Imam Muslim No 5318]


Dalam hadis ini Nabi s.a.w menceritakan tentang kehebatan seorang mukmin memberi respon terhadap ujian yang menimpanya. Ketika diuji dengan kesenangan respon seorang mukmin ialah bersyukur dan ketika diuji dengan kesusahan respon seorang mukmin itu ialah bersabar.

Respon seorang mukmin dengan ujian ini sangat mengkagumkan kerana respon yang betul ketika berdepan dengan ujian memberikan kebaikan yang banyak buat seorang mukmin di akhirat.


Covid-19 dan Respon Kita.

Hari ini sudah masuk 2 April 2020 iaitu telah masuk hari ke 16 sejak Kerajaan mengenakan “Perintah Kawalan Pergerakan” atau singkatannya PKP. Dalam tempoh lebih dua minggu ini bagaimakah respon kita terhadap ujian ini?

Sekiranya respon kita sebagai hamba Allah di waktu ini ialah terus bersabar, bersangka baik kepada Allah dan tidak berhenti berdoa dan berikhtiyar agar dijauhkan wabak ini maka kita telah memberi respon yang sepatutnya dan mudah-mudahan ia dibalas oleh Allah dengan pahala yang banyak.

Sekiranya respon yang kita tunjukkan selama 2 minggu lebih ini adalah respon yang tidak sepatutnya maka di saat ini sewajarnya kita mengubah respon kita kepada respon yang sepatutnya.

Ini Semua Pasti Berakhir.

Peganglah kata-kata keramat ini dan tuliskan di kertas serta tampal la ia di dinding atau di mana sahaja sebagai peringatan kepada kita semua agar tidak terus terlalai ketika diuji dengan kesenangan dan tidak berputus asa ketika duji dengan kesusahan. 

Ketika Allah anugerahkan kita dengan kesenangan peringatkan diri agar sentiasa bersyukur dan tidak lalai kerana kesenangan ini tidak akan kekal lama dan ia pastinya akan berakhir.

Ketika Allah menguji kita dengan kesusahan peringatkan diri agar sentiasa bersabar dan tidak berputus asa kerana kesusahan ini juga pasti akan berakhir dan di sebalik kesusahan ini pasti akan munculnya kesenangan seperti yang dijanjikan oleh Allah dalam Surah Al-Syarh ayat 5 :


فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan."


Renungan:

Mari kita merenung sejenak dan berfikir, sebelum ini entah sudah berapa banyak ujian kesusahan yang kita hadapi sebelum ini dan Allah telah melepaskan kita darinya sehingga kita sendiri pun sudah melupakannya. Tetapi malangnya setelah Allah lepaskan kesusahan tersebut dan kurniakan kembali kesenangan buat kita ramai dalam kalangan kita kembali lalai dan sedikit demi sedikit mula melupakan Allah.

Semoga setelah Allah lepaskan kita semua dari kesusahan menghadapi wabak covid-19 ini nanti. Allah kurniakan kita hati yang sentiasa mengingati Allah dan berusaha untuk tidak terus lalai dibuai kesenangan dunia yang sementara ini.

Taman Pelangi, Semporna
2/04/2020
3:59 PM



















No comments:

Post a Comment