Thursday, April 11, 2024

UJIAN KEHIDUPAN MENDIDIK JIWA

Janji Allah dalam kehidupan ini setiap yang bernama manusia sudah pasti diuji dengan pelbagai ujian kehidupan dan setiap manusia itu berbeza-beza jenis dan bentuk ujian yang menimpa mereka sesuai dengan tahap keimanan dan kemampuan mereka.

Kita berharap kehidupan ini sentiasa senang dan menyeronokkan tetapi ia bersalahan dengan ketetapan Allah yang menjadikan dunia ini sebagai medan ujian bagi sebuah kehidupan.

Ujian ini akan datang dalam dua jenis bentuk :

1) Ujian berbentuk kesenangan 
2) Ujian berbentuk kesusahan

Sama ada ujian datang dalam bentuk pertama atau kedua apa yang mahu dilihat oleh Allah setiap kali kita diuji ialah bagaimana respon kita dengan ujian tersebut. 

Jika ujian datang dalam bentuk sebuah kesenangan respon kita yang sepatutnya ialah “syukur” 

Jika ujian datang dalam bentuk kesusahan pula maka respon kita yang sepatutnya ialah “sabar”

Jika direnungkan antara dua ujian ini manakah yang lebih sukar? Jawabnya ujian kesenangan lagi mencabar kerana dalam kesenangan kita selalunya lupa bersyukur dan adakalanya dengan kesenangan itulah kita menderhakai Allah.

Tetapi jika ujian datang dalam bentuk kesusahan adakalanya ia lebih senang dihadapai kerana kebiasaannya ketika susah kita akan mudah ingat kepada Allah dan pasrah kepadanya.

Demikianlah hidup ini sentiasa berlegar di antara sabar dan syukur dan sebagai manusia mudah-mudahan Allah jadikan kita sentiasa memberikan respon yang sepatutnya ketika diuji.

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 214 :


أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأساء والضراء وزلزلوا حتى يقول الرسول والذين آمنوا معه متى نصر الله ألا إن نصر الله قريب



Maksudnya : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).


Sebahagian Ulamak seperti Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Mujahid, Said Bin Jubair mengatakan yang dimaksudkan dengan perkataan (البأساء) itu ialah “Kefakiran”

Dan Menurut Ibnu Abbas pulak perkataan (والضراء) itu merujuk kepada “Sakit”

Hanya ada satu sahaja tempat nikmat yang mana para penghuninya tidak akan ditimpa kefakiran dan kesakitan iaitulah Syurga Allah.

Semoga setiap kita menunjukkan prestasi yang baik dalam ujian kehidupan yang bersifat sementara ini.


Wad Kanak-Kanak Hospital Tawau
11 April 2024
4:31 PM




No comments:

Post a Comment