Monday, March 23, 2020

Mengimbas Kembali Wabak Taun ‘Amwas di Zaman Khalifah Umar R.anhu



Di tengah-tengah waktu Allah menguji kita semua dengan wabak Coronavirus baru bernama covid-19 yang telahpun menjangkiti sebanyak 350801 penduduk dunia dan menyebabkan sebanyak 15330 kematian saat artikel ini ditulis. Marilah kita mengimbau sejarah wabak yang pernah terjadi di Zaman Khalifah Umar ra.nhu yang terjadi kira-kira pada tahun 18H. 

Sebelum itu, mari kita hayati hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada ‘Auf bin Malik r.anhu dia berkata :

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ وَهُوَ فِي قُبَّةٍ مِنْ أَدَمٍ فَقَالَ اعْدُدْ سِتًّا بَيْنَ يَدَيْ السَّاعَةِ مَوْتِي ثُمَّ فَتْحُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ ثُمَّ مُوْتَانٌ يَأْخُذُ فِيكُمْ كَقُعَاصِ الْغَنَمِ ثُمَّ اسْتِفَاضَةُ الْمَالِ حَتَّى يُعْطَى الرَّجُلُ مِائَةَ دِينَارٍ فَيَظَلُّ سَاخِطًا ثُمَّ فِتْنَةٌ لَا يَبْقَى بَيْتٌ مِنْ الْعَرَبِ إِلَّا دَخَلَتْهُ ثُمَّ هُدْنَةٌ تَكُونُ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ بَنِي الْأَصْفَرِ فَيَغْدِرُونَ فَيَأْتُونَكُمْ تَحْتَ ثَمَانِينَ غَايَةً تَحْتَ كُلِّ غَايَةٍ اثْنَا عَشَرَ أَلْفًا




Terjemahan: 

"Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: "Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari Kiamat; iaitu kematianku, kemudian pembebasan Baitul Maqdis, kemudian kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba, kemudian melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun ia masih marah (merasa kurang), kemudian timbulnya fitnah sehingga tidak ada satupun rumah orang Arab melainkan ia akan memasukinya, kemudian perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri dari dua belas ribu (12,000) tentera". (HR al-Bukhari 2940) 

Pada tahun ke 18H berlakunya wabak taun yang dinamakan sebagai Ta’un ‘Amwas kerana ia bermula di daerah ‘Amwas yang merupakan salah sebuah desa yang berada di Palestin.Lokasinya terletak antara Kota Ramlah dan Al-Quds dan jaraknya ialah kira-kira 6 batu dari Kota Ramlah. Wabak ini merupakan wabak yang dahsyat melanda Negara Syam sehinggakan menurut catatan Imam al-Waqidi, tidak kurang daripada 25,000 kaum muslimin meninggal gara-gara wabak ini. Sebahagian ulamak sejarah yang lain menganggarkan kematian yang berlaku ialah sebanyak kira-kira 30,000 orang. 

Di antara mereka yang meninggal adalah para tokoh Islam di masa itu seperti, Abu Ubaidah al-Jarrah, Yazid Bin Abi Sufyan, Syurahbil Bin Hasanah, Mu’adz bin jabal, Fadhl Bin Abbas bin Abdul Muthalib, Harits Bin Hisyam, Abu Jandal Bin Suhail bin Amru dan Abu Malik Al-Asy’ari.

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani mengatakan, “Qu’ash al-Ghanam” yang disebut dalam hadis ialah penyakit yang menimpa haiwan ternak sehingga dari hidungnya mengeluarkan sesuatu cairan sehingga menyebabkan kematian secara mendadak. 

Menurut pakar bahasa iaitu Ibnu Faris, “Qu’ash” adalah penyakit yang menyerang dada yang sakitnya seakan-akan sampai mematahkan tulang leher.” 

Dikatakan bahawa petanda kiamat ini telah muncul dalam bentuk wabak ta’un ‘Amwas yang terjadi di zaman kekhilafahan Saidina Umar al-Khattab dan ianya terjadi setelah penaklukan Baitul Maqdis. 

Apabila kita perhatikan penyakit Covid-19 yang melanda hampir keseluruhan dunia pada hari ini, kita akan dapati bahawa apa yang disebut oleh Ibn Hajar dan Ibnu Faris itu simptomnya ada pada pesakit Covid-19 ini, di mana simptom pesakit Covid-19 ialah adalah demam, kelelahan, dan batuk kering, mengalami sakit dan nyeri, hidung tersumbat, selsema, sakit tenggorokan, atau diare ringan. 

Ibnu Hajar Al-Asqalani mengatakan, “Qu’ash al-Ghanam” penyakit yang keluar dari hidung sesuatu cairan. Ini mirip kepada selsema yang menyerang manusia. Manakala Ibnu Faris, “Qu’ash” adalah penyakit yang menyerang dada. Mungkin sekali dada yang dimaksudkan itu adalah paru-paru yang berfungsi untuk menukar oksigen dari udara dengan karbon dioksida dari darah dengan bantuan hemoglobin. Proses ini dikenali sebagai respirasi atau pernafasan. Apabila virus menyerang bahagian ini, pesakit akan merasakan kesukaran untuk bernafas atau sesak nafas. 

Penyakit yang menyerang manusia dan menyebabkan kematian mendadak seperti disebut dalam hadis merupakan petanda akhir zaman, Sudah banyak kematian disebabkan wabak meragut ribuan nyawa manusia sejak zaman dahulu, Penyakit Covid-19 yang datang kali ini mengulangi sejarah kedatangan wabak di zaman dahulu cuma dalam bentuk nama dan virus yang berbeza.

Adakah ia merupakan petanda akhir zaman? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.!!




Wallahu’alam….


Taman Pelangi, Semporna
23/03/2020
10:55 PM

No comments:

Post a Comment