Sunday, March 22, 2020

JIKA MUSIBAH DATANG MENIMPA


Dalam kamus kehidupan ini, kesenangan dan kesusahan akan silih berganti. Ada waktu dan ketikanya kita gembira, kadang-kadang kita bersedih dan ada kalanya kita dirundum dengan musibah yang menyebabkan kita terasa berat untuk menanggunnya.

Semua ini menjadi lumrah kehidupan buat seorang insan melalui hari-harinya sebagai hamba Allah, kerana Allah tidak menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang kekal buat orang beriman, bahkan ia hanyalah sebuah persinggahan untuk mengumpul bekal menuju ke Negeri yang kekal abadi iaitu akhirat.

Dalam keadaan kita diuji dengan wabak Covid-19 yang menular dengan cepat dan pantas dan merentasi sempadan dunia secepat kilat, sebagai seorang yang beriman kita perlu kekal bertenang dan kembali bertaubat kepada Allah.

Dalam apa jua keadaan yang menimpa Allah tidak membiarkan kita teraba-raba dalam kegelapan tanpa pedoman, kerana Allah telahpun menurunkan al-Quran sebagai panduan buat orang beriman untuk menguruskan kehidupan. Sudah tentu ketika berhadapan dengan wabak yang bersifat pandemik ini al-Quran menyuluh pedoman untuk kita semua.



Pedoman al-Quran Untuk Orang Beriman.


Firman Allah Taala :


مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ



Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [Surah At-Taghabun : 11]


Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar menyebutkan ketika mentafsir kan ayat ini :


*Inilah pedoman seorang beriman dalam perjuangan hidupnya. Dengan tegas Allah berfirman bahawa Mukmin tidak boleh cemas bila berhadapan dengan musibah dan mala-petaka. Kerana apa jua malapetaka tidaklah akan menimpa diri kita kecuali kalau Allah megizinkan.

*Yang penting di dalam menghadapinya, jika musibah itu datang jua ialah dengan tetap beriman. Sebab dalam lanjutan ayat Allah berfirman : “Dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya


*Apabila iman ada, pastilah Allah memberi petunjuk untuk mengatasi musibah itu. Tetapi kalau iman tidak ada, musibah itu akan membuatnya jadi hancur atau jatuh.


Pada hujung ayat ke 11 Allah menyatakan :


“Dan Allah atas tiap-tiap sesuatu adalah Maha Mengetahui”


*Dengan sebab Iman hati manusia menjadi terang, atau dipenuhi cahaya. Allah Maha Mengetahui segala hal. Maka berkat cahaya imannya itu, datanglah sinar petunjuk Allah ke dalam hatinya sehingga dia selamat terlepas dari musibah.


Berkata penafsir al-Ma’ani, “orang yang mendalami memahami maksud Al-Quran, “Dia akan memberi petunjuk dalam hatinya” ialah diberi petunjuk supaya bersyukur ketika diberi kesenangan dan bersabar ketika ditimpa bala bencana.”


Ibnu Jarir at-Tabari ketika menafsirkan ayat ke 11 ini membawakan kata-kata ‘Alqamah :

قال علقمة :هو الرجل تصيبه المصيبة، فيعلم أنها من عند الله، فيسلم ذلك ويرضى




‘Alqamah berkata : “Ia adalah seseorang lelaki yang tertimpa musibah, namun ia tahu bahawasanya musibah tersebut dari Allah, maka ia pun menerimanya dan redha.


Dalam sepotong hadis riwayat Imam Muslim daripada Suhaib Bin Sinan, Nabi s.a.w bersabda :


عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ



Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”


(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)


*Telah berkata Sa’ad bin Jubair mengenai firman Allah : “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya”, yakni dia beristirja’ dan berkata :

إنّا لله وإنّا إليهِ رَاجعُون،


“Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada Allah kita kembali”



Taman Pelangi, Semporna
22/03/2020
8:57 PM






No comments:

Post a Comment