Takfiri boleh berlaku melalui salah satu dari 3 cara iaitu :
1) Perkataan
2) Perbuatan
3) Hati
Hari ini kita melihat budaya takfiri disebabkan perbezaan parti politik masih belum berakhir bahkan masih ada yang terus menyuburkan fikrah takfiri ini sama ada melalui perkataan, perbuatan mahupun hati.
Kenapa budaya ini masih subur?
Kenapa ia mengambil masa yang agak lama untuk seseorang keluar dari fikrah ini?
Saya tidak punyai jawapan yang tuntas untuk menjawab persoalan ini cuma pada pandangan saya yang dhaif ia bepunca dari sebuah ketaksuban yang melampau sehingga melahirkan sifat ghuluw ketika berbeza pandangan politik.
Manusia memerlukan proses untuk fikirannya menjadi matang antaranya ialah dengan berguru dengan pelbagai guru dan aliran untuk diri dibiasakan dengan perbezaan yang ada, sehingga tidak menganggap pandangannya atau kumpulannya sahaja yang betul.
Sebagaimana ketepatan pandangan mazhab dalam satu-satu isu fiqh tidak hanya berada dalam satu mazhab bahkan kesemua mazhab yang ada saling melengkapi begitu juga la halnya dengan parti politik di mana kebenaran dan kebaikan tidak hanya berada dalam parti politik yang kita sokong dan dokong sahaja.
Semua parti ada kebaikan dan kesalahan begitu juga parti yang kita sokong dan kesemua parti yang ada pastinya ada orang-orang di dalamnya yang ikhlas dan cintakan Islam berada dalam setiap parti yang wujud dan sepatutnya kita saling lengkap-melengkapi biarpun berbeza dan masing-masing terlibat memberi sumbangan untuk menaikkan Islam.
Ibarat kata setiap orang pikul baldi masing-masing, kita nak pikul tangki besar dari lori air tak mampu melainkan setiap orang kena bawa sedikit seorang baldi dan bawa air menggunakan baldi masing-masing setakat yang termampu.
No comments:
Post a Comment